Friday 22 November 2013

ISRA' MIKRAJ

Assalamu`alaikum wrt. wbt. dan Salam Sejahtera.


ISRA MIKRAJ
Dalam Surah Al-Isra’ ayat 1, Allah S.W.T. menjelaskan bahawa:-
“Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Mesjidil Aqsa (di Palestin) yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebenaran) kami.  Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Isra' Mikraj berlaku pada 27 Rejab tahun ke-4 Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. bersamaan 621 Masehi,

MAKSUD ISRA’
Perjalanan Nabi Muhammad dari Masjidil Haram di Mekah ke Mesjidil Aqsa di Baitul Muqaddis, Palestine.

MAKSUD MIKRAJ
Perajalanan Nabi Muhammad s.a.w. dari Mesjidil Aqsa di Baitul Muqaddis, Palestine menuju ke Sidratul Muntahar.

SEBAB BERLAKUNYA ISRA’ DAN MIKRAJ
Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku setelah setelah Nabi Muhammad s.a.w. menempuh tahun dukacita:-
1.  Kehilangan 2 orang yang dikasihi iatu isterinya Siti Khadijah binti Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib.  Mereka merupakan tokoh penting yang telah membantu usaha dakwah baginda mengemabalikan Agama Islam selama ini
2.  Penolakan penduduk Mekah dan Taif terhadap dakwah Islam.  Dalam peristiwa di Taif, baginda telah diherdik dan dilontar dengan batu oleh budak2 nakal sehingga baginda cedera.
Di saat kesedihan yang amat sangat inilah Malaikat Jibril dating membawa pesan gembira dari Allah S.W.T.  bagi mengiringi Nabi untuk Isra’ dan Mikraj bertemu penciptanya


PERISTIWA SEBELUM ISRA’ MIKRAJ
Pada malam 27 Rejab bersamaam 621 Masehi:-
1.  Nabi Muhammad s.a.w. telah dibawa ke telaga zamzam oleh Malaikat Jibril, Mikail beserta seorang lagi Malaikat.
2.  Malaikat Jibril telah membelah dada dan mengeluarkan hati Nabi Muhammad s.a.w. untuk dicuci ketul-ketul hitam (‘uluqah), tempat syaitan membisikkan perasaan was-was dengan air zamzam.
3.  Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w. telah diisi dengan hikmah ilmu dan iman, kemudian dirapatkan semula dan dimeterikan dengan khatamun Nubuwwah (penutup segala nabi), diantara 2 belikat baginda.
4.  Selepas itu, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam perjalanan Isra’ dan Mikraj.  Baginda diiringi Malaikat Jibaril dan Malaikat Mikael menuju ke Baitul Muqaddis di Palastin.

GAMBARAN TENTANG BURAQ:
Buraq adalah seekor binatang putih yang tinggi, lebih besar dari keldai, lebih kecil dari kuda.
Apabila mendaki, kaki belakangnya memanjang.
Apabila menurun, kaki di hadapannya memanjang
Pada pehanya ada dua sayap.
Sekali melangkah, sejauh mata memandang

PERJALANAN ISRA’ RASULULLAH.
Ketika Isra’, Nabi Muhammad s.a.w. berhenti di beberapa tempat.  Di antaranya ialah:-
1.  Di suatu ladang kurma yang subur, Malaikat Jibril menjelaskan bahawa nama tempat ini adalah Madinah, yang akan menjadi tempat Nabi berhijrah.
2.  Suatu tempat bernama Madyan; iaitu tempat Nabi Musa berteduh ketika dikejar Firaun.
3.  Suatu tempat bernama Bukit Thursina, tempat Allah berfiman dengan Nabi Musa.
4.  Suatu tempat bernama Baitul-Laham, iaitu tempat Nabi Isa dilahirkan.

PERISTIWA DI MASJIDIL AQSA
Baginda menjadi Imam solat kepada Nabi yang lain.
Selepas itu nabi didatangi Malaikat Jibril untuk memilih di antara arak dan susu.  Baginda telah memilih susu, iaitu simbolik kepada Fitrah.

PERJALANAN MIKRAJ NABI
Mikraj Nabi bermula dari Masjidil Aqsa naik ke alam tinggi.  Dalam perjalanan ke Sidratul Muntaha, baginda bertemu dengan Nabi2 yang diutus terdahulu.  Kedatangan baginda dialu-alukan dan diakui kenabiannya pada setiap lapisan langit iaitu:
Ø  Di langit Pertama :  Nabi Adam a.s.
Ø  Di langit Kedua :  Nabi Isa dan Nabi Yahya a.s.
Ø  Di langit Ketiga :  Nabi Yusof a.s.
Ø  Di langit Keempat :  Nabi Idris a.s.
Ø  Di langit Kelima :  Nabi Harun a.s.
Ø  Di langit Keenam : Nabi Musa
Ø  Di langit Ketujuh :  Nabi Ibrahim
Ø  Seterusnya nabi dibawa naik ke Sidratul Muntaha dan terus ke Baitul Makmur.

MENERIMA KEFARDUAN SOLAT DI SIDRATUL MUNTAHA
Di Sidratul Muntaha, Nabi  Muhammad  s.a.w.  telah menerima kefarduan solat sebanyak 50 waktu sehari semalam  daripada Allah. Dalam perjalanan turun ke langit keenam, Nabi Musa menasihati baginda agar memohon kepada Allah supaya dikurangkan bilangan waktu solat, kerana umat baginda pasti tidak mampu menunaikannya.  Nabi Muhammad s.a.w. berulang-alik ke hadrat Allah bagi memohon dikurangkan waktu solat 50 waktu.   Akhirnya Allah S.W.T. telah mengurangkan waktu  solat menjadi 5  waktu  sehari semalam.

PERJALANAN DI SYURGA
Rasulullah s.a.w. dibawa ke dalam syurga.  Baginda kagum dengan keindahan syurga.  Baginda melihat beberapa sungai arak yang mengalir enak rasanya, sungai madu yang jernih airnya lagi manis, intan permata yang bertaburan, buah delima sebesar timba, serta tanah yang wangi bagaikan kasturi.

PERJALANAN DI NERAKA
Dari syurga, baginda dibawa ke neraka jahannam.  Nabi Muhammad s.a.w. berjumpa Malaikat Malik.  Wajahnya garang dan tidak senyum.  Baginda melihat suatu kaum yang sedang makan daging yang busuk.  Malaikat Jibril menjelaskan kepada Nabi bahawa mereka adalah orang2 yang suka mengumpat orang lain.

PERISTIWA LUAR BIASA YANG DIPERLIHATKAN KEPADA RASULULLAH KETIKA ISRA’ MIKRAJ
Ketika perjalanan Isra’ Mikraj, baginda diperlihatkan dengan beberapa peristiwa yang menakjubkan.  Antaranya:-
Ø  Nabi Muhammad s.a.w. diperlihatkan dengan suatu kaum yang bercucuk tanam dan terus menuai.  Malaikat Jibril menerangkan bahawa itulah balasan orang yang membelanjakan hartanya kepada jalan kebaikan dengan ikhlas.

Ø  Nabi Muhammad s.a.w.  menghidu bau yang sangat harum.  Malaikat Jibril menjelaskan bahawa itulah Kubur Mashitah dan keluarganya.  Mereka dibunuh oleh Firaun kerana beriman kepada Allah dan tidak mahu mengakui Firaun sebagai Tuhan.

Ø  Golongan yang memilik mulut seperti muncung unta.  Mereka memasukkan Sesuatu seperti batu-batu ke dalam neraka ke dalam mulut.  Batu-batu yang ditelan itu kemudiannya keluar melalui dubur mereka.  Mereka ini adalah golongan yang memakan harta anak yatim secara zalim.

Ø  Sekumpulan manusia memecahkan kepala mereka dengan batu berulang kali.  Mereka ini adalah orang yang malas solat.

Ø  Orang yang membawa seberkas kayu yang banyak dan tidak terdaya lalu ditambah lagi. Mereka ini tidak menunaikan amanah ketika di dunia.


REAKSI PENDUDUK MEKAH TERHADAP PERISTIWA ISRA’ DAN MIKRAJ
Pada keesokan harinya, Rasulullah s.a.w. telah menemui orang-ramai bagi menceritakan peristiwa Isra’ dan Mikraj yang baginda alami.
Saidina Abu Bakar membenarkan peristiwa tersebut dan digelar Abu Bakar As-Siddiq.
Manakala kaum Musyrikin pula telah menguji baginda dengan bertanyakan cirri-ciri Baitul Muqaddis yang telah dilihat.  Lalu Allah S.W.T. telah mengilhamkan baginda sehingga Rasulullah dapat menjelaskan ciri-ciri Baitul Muqaddis dengan betul. 
Kaum Musyrikin bertanya lagi bagaimana keadaan rombongan dagangan mereka jika benar Rasulullah s.a.w. telah melihatnya.  Maka baginda telah menyatakan bahawa bahawa rombongan tersebut akan sampai pada waktu terbit matahari dengan didahului oleh unta bewarna kelabu.   Walaupun jawapan yang dikatakan oleh Rasulullah itu benar, namun kaum Musyrikin tetap tidak mahu beriman dan enggan mengakui kebenarannya. 

IKTIBAR DARI PERISTIWA ISRA’ MIKRAJ
1.  Allah memperlihatkan kekuasaanya dalam peristiwa ini. 
Kita wajib beriman bahawa Allah Maha berkuasa atas segala sesuatu dengan mentaati segala perintah-Nya.

2.  Kefarduan solat berlaku di Sidratul Muntaha.
Ini menunjukkan keistimewaan ibadat solat yang menjadi tiang Agama.  Kita mestilah bersungguh-sungguh menunaikan ibadat solat dengan sempurna.

3.  Nabi bersikap berani dengan menceritakan perisitiwa Isra’ Mikraj kepada orang ramai.
Kita mestilah bersikap berani menyampaikan kebenaran sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

4.  Nabi Muhammad s.a.w. telah ditunjukkan keadaan syurga dan neraka ketika Mikraj. 
Kita mesti meyakini bahawa setiap perbuatan akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat kelak.

RUMUSAN
Peristiwa Isra’ Mikraj member keinsafan kepada kita agar sentiasa bertakwa kepada Allah.


Kita hendaklah yakin bahawa setiap perbuatan akan diberi balasan.